Tuesday, May 9, 2017

Siapakah Anira sebenarnya?

Tahun 1827 merupakan permulaan detik Anira selepas peristiwa suaminya meninggal dunia dibaham harimau. Selepas pemergian suaminya itu, Anira hidup sebatang kara, kais pagi makan pagi kais petang makan petang dalam membesarkan anak perempuan kesayangannya, Hartini, seorang diri. Dengan ketidakupayaan yang dihadapinya, Anira sukar untuk mendapatkan sebarang pekerjaan. Untuk membesarkan dan menyuap sesuap rezeki kepada Hartini adalah sukar. Namun, langit tidak selalunya mendung. Suatu ketika, Anira menerima bantuan daripada seorang saudagar jutawan kacak yang ikhlas berniat untuk membantu orang susah seperti Anira. Rupa paras dan kebaikan budi pekerti saudagar itu membuatkan Anira jatuh padanya. Akan tetapi selepas saudagar jutawan tersebut mengetahui tentang perasaan Anira, dia mula memulaukan Anira. Tiada siapa yang peduli tentang perasaan seorang janda hodoh yang sudah menjangkau usia 44 tahun seperti Anira. 

Hati Anira yang hancur ditolak oleh saudagar jutawan itu mendorongnya untuk bertemu dengan seorang dukun, bertekad untuk mempunyai kecantikan seperti yang diingini. Dia menurut segala perbuatan dukun tersebut; memasukkan paku di belakang tengkok Anira dan memaksa Anira minum semangkuk darah dan memakan jantung lelaki. Serta merta Anira bertukar wajah menjadi seorang wanita muda yang cantik jelita. Kecantikannya kini membuatkan saudagar jutawan yang pernah menolak cintanya juga kini amat tergila-gilakan Anira.
Akan tetapi, kecantikan yang diperoleh oleh Anira kini hanya mampu bertahan selama semalaman atau dalam masa 24 jam sahaja. Selepas tamat tempoh itu, Anira akan kembali menjadi hodoh seperti sediakala. Anira mula tamak dan terdesak. Keinginannya untuk menjadi cantik membuak-buak; meminta untuk dipenuhi. Oleh itu Anira mengambil tindakan drastik dengan membunuh manusia setiap hari. Desakan itu semakin lama semakin kuat, membaham diri sebenar Anira, mengakibatkan dia terpaksa akur dengan desakan diri sendiri. Akan tetapi, Anira semakin cuai dan akhirnya, perbuatan kejinya yang membunuh manusia tanpa henti telah disaksikan oleh orang-orang kampung.
Orang kampung yang dalam kemarahan membakar rumah Anira, dan Hartini yang sedang tidur di dalam rumah terkorban – dibakar hidup-hidup. Anira yang dalam kesedihan dan kemarahan yang meluap-luap mengambil langkah membunuh semua penghuni kampung. Dan daripada situ, Anira mula sedar bahawasanya dia tidak seperti manusia biasa lagi.
Akan tetapi Anira tidak pernah menyesal dan tidak mahu berhenti. Keinginannya untuk berterusan menjadi cantik harus dipenuhi, mengakibatkan Anira terpaksa bergerak daripada satu kampung ke kampung yang lain untuk membunuh korban daripada mangsa lelaki. Setiap kali Anira membunuh juga, kuasanya semakin bertambah dan semakin kuat.
Taksubnya pada kecantikan tidak akan pernah padam. Nafsunya pada darah tidak akan pernah puas. Itulah sumpahan Anira… hingga akhir hayat.



Buku ini boleh didapti di: